ANTARA barangan yang dirampas dalam serbuan tangkapan suspek kes pecah pusat tuisyen di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.
ANTARA barangan yang dirampas dalam serbuan tangkapan suspek kes pecah pusat tuisyen di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


AKIBAT tidak puas hati tayar keretanya dikapit, lelaki bertindak mengugut pengawal keselamatan di tempat letak kenderaan sebuah apartmen di Damansara Damai, Petaling Jaya pada 20 Ogos lalu.

Malah, suspek berusia 44 tahun itu juga bertindak memecahkan kunci dan merosakkan alat pengunci tayar terbabit, beberapa hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihak polis menerima laporan dibuat pengawal keselamatan di apartmen berkenaan pada 5.26 petang semalam.

"Pengadu memaklumkan dia mengapit tayar kereta suspek kerana dia tidak membayar kos penyelenggaraan bulanan selama tiga bulan.

"Tindakan pengawal keselamatan itu menyebabkan suspek bertindak menunjukkan pedang samurai kepada mangsa ketika dia mahu membuka alat pengunci tayar kereta suspek pada 20 Ogos lalu.

"Dalam kejadian kedua pula, suspek bertindak memecahkan kunci dan merosakkan alat pengunci tayar terbabit di lokasi sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil maklumat itu, pihaknya menahan suspek di rumahnya di apartmen berkenaan pada 10.30 malam semalam.

"Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui satu kuku kambing yang dipercayai digunakan untuk merosakkan alat pengunci tayar berkenaan.

"Suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah masuk pusat tuisyen di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 26 tahun yang juga pemilik pusat tuisyen berkenaan berhubung kejadian.

"Polis berjaya menahan suspek di sebuah stor di Kota Damansara kira-kira 2 petang semalam dan menemui pelbagai barangan termasuk televisyen, komputer riba dan penebuk dinding dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis berkenaan.

"Hasil soal siasat suspek mengaku memecah masuk pusat tuisyen berkenaan dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah termasuk kes dadah," katanya.

Katanya, lelaki itu direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 8:15 PM