NIK EZANEE MOHD FAISAL
NIK EZANEE MOHD FAISAL
Nor Azizah Mokhtar


KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan seorang mangsa kejadian pecah rumah di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini bahawa suspek kejadian terbabit dibebaskan sebaik siasatan kes itu selesai.

Mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan polis, memuat naik perkara itu di laman Facebook menggunakan nama 'Miza Mohamad' semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada mangsa pada 8 Mei lalu yang memaklumkan kediamannya dipecah masuk.

Menurut Nik Ezanee, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa pulang ke kampung selama tujuh minggu, iaitu sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19.

"Kejadian disedari sebaik mangsa pulang dan mendapati barangan berharga seperti barang kemas hilang.

"Miza Mohamad (mangsa) dalam laporan polis menyatakan tidak tahu siapa pelakunya. Hasil siasatan, kami menahan suspek di Apartmen Harmoni, Damansara Damai, 12.45 tengah malam, 14 Mei lalu," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, pihaknya turut menemui semula jam tangan mangsa dan hasil soal siasat, suspek mengaku memecah rumah mangsa selain sudah menjual sebahagian barangan dicuri kepada seorang lelaki tempatan.

"Susulan itu, kami tahan dua lagi rakan jenayah suspek dan menemui alatan pecah rumah serta mesin basuh dan dua televisyen dicuri dari rumah mangsa.

"Ketiga-tiga suspek direman bermula 15 Mei hingga 20 Mei lalu. Suspek pertama dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi," katanya.

Menurut beliau, suspek pertama turut dituduh mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana gagal memberikan keterangan bagaimana harta diperoleh manakala dua lagi suspek dijadikan saksi pendakwaan.

"Pertuduhan dijalankan 10 Jun lalu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan suspek mendapat jamin mahkamah sementara menunggu tarikh perbicaraan pada 10 Ogos ini.

"Justeru, dakwaan pemilik Facebook Miza Mohamad mengatakan suspek dibebaskan dengan jaminan polis adalah tidak benar," katanya.

Menurut Nik Ezanee, pihaknya sentiasa memastikan setiap laporan polis dibuat orang ramai dikaji selidik dan disiasat seadilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 8:28 PM