MAZLAN. FOTO arkib NSTP
MAZLAN. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


"BOLEH salurkan maklumat tetapi bukan dengan cara tular," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mazlan memberi reaksi itu ketika ditanya sama ada orang ramai boleh membuat pendedahan berkaitan kegiatan jenayah dengan cara membuat video tular.

Menurutnya, polis sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah tetapi bukan dengan menularkannya di laman sosial.

Katanya, tindakan menularkan maklumat tidak digalakkan kerana hanya akan mengancam keselamatan dan nyawa pengadu terbabit.

"Boleh salurkan maklumat tetapi bukan dengan cara ini dan kita harap sangat jangan tularkan kerana boleh membahayakan diri mereka (pengadu).

"Maklumat itu boleh disalurkan dengan menghubungi talian terus PDRM iaitu 03-21460670 atau menghantar kiriman berserta lokasi, gambar dan butiran berkaitan menerusi Whatsapp di talian 017-3169779.

"Maklumat diterima akan diproses dan tindakan lanjut akan diambil. Kita akan merahsiakan identiti pengadu, ini jadi prosedur operasi standard (SOP). Kalau tular tak boleh buat apa sebab orang sudah tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Mazlan berkata, kerjasama masyarakat diharap berterusan bagi membantu polis membanteras kegiatan jenayah termasuk perjudian haram di dalam talian.

Katanya, beliau juga sudah mengadakan mesyuarat khas dan membentuk pasukan task force bagi membanteras kegiatan perjudian dan lain-lain jenayah di sekitar ibu kota.

"Pihak kita memang memandang serius kegiatan perjudian haram termasuk secara dalam talian dan saya sudah memberi arahan kepada semua ketua polis daerah untuk pastikan tiada mesin judi haram dan kegiatan berkaitan dijalankan di premis.

"Pasukan kita memantau tetapi masalahnya , mereka ini (sindiket perjudian) melakukan kegiatan secara sembunyi dan apabila ditutup (premis), mereka buka semula.

"Jadi, saya menyeru orang ramai terus beri maklumat kerana ia memerlukan tindakan bersepadu antara polis dan masyarakat. Jangan berhenti beri maklumat, perlu berterusan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 12:39 PM