MAZLAN LAZIM
MAZLAN LAZIM
Muhaamad Hafis Nawawi


DUA individu ditahan dalam Op Noda dan 72 lagi menerusi Op Dadu untuk dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak 1 Januari hingga 19 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya amat serius dalam menangani masalah perjudian haram dan pelacuran di ibu kota.

Menurutnya, pelbagai operasi giat dijalankan secara konsisten bertujuan untuk membanteras kegiatan perjudian haram dan pelacuran.

"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menjalankan sebanyak 4,748 pemeriksaan premis dan mencatatkan sebanyak 92 serbuan bagi membanteras judi dalam talian sejak 1 Januari hingga 19 Julai lalu.

"Dalam operasi itu, seramai 369 orang sudah ditahan manakala perangkaan Op Dadu (Lain-Lain Perjudian) bagi tempoh sama mencatatkan sebanyak 262 pemeriksaan premis dan 284 serbuan dijalankan dengan jumlah ditahan seramai 411 orang.

"Bagi Op Dadu (Call Centre) pula, sebanyak tujuh pemeriksaan premis dan 51 serbuan berjaya dijalankan oleh JSJ Kuala Lumpur dengan 384 orang ditahan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam Op Noda pula, Mazlan berkata, sebanyak 1,482 pemeriksaan premis sudah dijalankan bagi tempoh yang sama.

"Sebanyak 581 serbuan berjaya dilakukan dengan 1,863 orang ditahan.

"Dalam operasi yang dijalankan itu, seramai 588 orang yang ditahan adalah warga tempatan dengan 38 daripadanya adalah individu berusia bawah 16 tahun dan selebihnya berusia sehingga 60 tahun," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap pusat hiburan yang tidak mempunyai lesen atau melanggar syarat pusat hiburan.

"Sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 99 buah pusat hiburan dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dalam membanteras kegiatan perjudian haram dan pelacuran di ibu kota dengan menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 7:59 PM