LETUPAN yang meragut nyawa 73 individu. FOTO Video Grab
LETUPAN yang meragut nyawa 73 individu. FOTO Video Grab
Ekhwan Haque Fazlul Haque


WISMA Putra bersedia menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada Lubnan ekoran insiden dua letupan kuat di Beirut yang meragut nyawa 73 individu dan mencederakan lebih 3,700 yang lain.

Kementerian Luar memaklumkan, Malaysia terkejut dan bersimpati dengan insiden yang berlaku di negara berkenaan malah akan terus menyokong Lubnan dalam usaha untuk menghadapi situasi sukar ini.

"Rakyat Malaysia yang berada dan menetap di Lubnan dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa negara berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

"Setakat ini tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat dan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Beirut di talian +9611787 144/166 atau menerusi faks +9611787 344 dan emel [email protected].

Dua letupan jam 6 petang semalam (waktu tempatan) menggegarkan Beirut dipercayai berlaku di pelabuhan yang mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu selain kerosakan pada beberapa bangunan lain berhampiran.

Presiden Lubnan, Michel Aoun mempersoalkan tindakan gudang bunga api yang menyimpan 2,750 tan ammonia nitrat tanpa langkah keselamatan yang didakwa menjadi punca letupan.

Berita berkaitan:

  • 73 maut dalam letupan di pelabuhan Lubnan
  • Letupan Lubnan, 'serangan mengerikan' - Trump
  • Lubnan akan cari dalang letupan
  • Letupan Lubnan: Pemimpin dunia rakam takziah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:36 PM