Raja Noraina Raja Rahim

PEMAKAIAN pelitup muka yang diwajibkan kerajaan kepada orang ramai tidak akan mencemarkan alam sekitar.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad menjelaskan ia berikutan Malaysia mempunyai sistem pengurusan buangan yang baik.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat juga harus bertanggungjawab dalam menguruskan pembuangan pelitup muka dengan sempurna.

"Kita melihat begitu sistematik negara menguruskan keadaan itu (pembuangan sisa klinikal) sebelum ini.

"Sebagai contoh di hospital, bagaimana peralatan digunakan doktor dan mangsa Covid-19 diuruskan dan dibuang dengan baik sebelum dilupuskan.

"Bagi pelitup muka digunakan orang ramai pula, tidak perlu dilupuskan secara klinikal, memadai masuk dalam tong sampah sebelum dikutip oleh pihak operator pengurusan sampah dan akan dilupuskan di tempat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian Perkhidmatan Pengosongan Sistem Perangkap Gris, Lemak, Minyak dan Gris Antara Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dan Nusa Baiduri Sdn Bhd di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Kelab Kebajikan Masyarakat Gemilang Kuala Lumpur yang menggesa kerajaan menggalakkan pemakaian pelitup muka fabrik bagi membendung masalah pencemaran alam sekitar dan penghasilan sisa plastik tidak terkawal.

Anggaran kasar mendapati dasar pemakaian pelitup muka berpotensi menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar 31,000 tan dan sisa pembungkusan plastik negara 27,000 tan dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup pakai buang diteruskan.

Ditanya mengenai saranan pemakaian pelitup muka fabrik menggantikan pelitup muka pakai buang, Dr Ahmad Masrizal berkata, ia bergantung kepada situasi semasa penularan Covid-19.

"Selagi (pelitup muka fabrik) boleh memastikan wabak dapat dibendung dan tidak berjangkit," katanya.

MEMAKAI pelitup muka antara SOP yang diwajibkan bagi mengekang penularan Covid-19. FOTO Effendy Rashid
MEMAKAI pelitup muka antara SOP yang diwajibkan bagi mengekang penularan Covid-19. FOTO Effendy Rashid

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 2:11 PM