GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


"MATLAMAT kita sekarang adalah memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 terlebih dahulu," kata Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun.

Beliau mengulas cadangan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyeru kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pelitup separuh muka jenis fabrik yang menepati garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kelab Kebajikan Masyarakat Gemilang Kuala Lumpur (Kelab Gemilang) mendedahkan berdasarkan anggaran kasar dasar pemakaian mandatori pelitup muka berpotensi untuk menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar sebanyak 31,000 tan dan 27,000 tan bagi sisa pembungkusan plastik negara dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup muka pakai buang diteruskan.

Dr Hanafiah berkata, tiada guna persekitaran yang cantik dan baik tetapi pandemik Covid-19 merebak dengan meluas.

"Apakah ertinya keindahan jika manusia dalam ancaman wabak, sebaiknya ketika ini kita perlu memikirkan untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan cepat sebelum menjadi lebih teruk.

"Saya faham maksud NGO berkenaan lebih-lebih lagi rakyat kita suka membuang pelitup muka sesuka hati di tepi jalan, tetapi ketika ini apa yang lebih penting adalah memutuskan rantaian jangkitan," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi Pakar Epidemiologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan yang mahu masyarakat sedar keperluan memakai pelitup muka tiga lapisan mampu mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19 berbanding jenis fabrik 'fancy' yang kini menjadi pilihan ramai.

"Ada asasnya saranan NGO berkenaan lebih-lebih lagi melihat pelitup muka dibuang merata-rata, cuma keutamaan dan lebih penting adalah memutuskan rantaian jangkitan pandemik ini.

"Pelitup muka tiga lapisan yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penting kerana memiliki penapis yang dapat menghalang partikal halus termasuk virus daripada dihidu berbanding pelitup muka fabrik biasa ia sekadar mampu menapis bau dan partikel kasar daripada dihidu kerana dibuat tanpa penapis khas," katanya.

Katanya, masyarakat perlu tahu dan faham tujuan pemakaian pelitup muka bukan sekadar syarat saja tetapi usaha dalam memutuskan penularan jangkitan.

"Ada tanggapan penggunaan pelitup muka fabrik ini lebih menjimatkan kerana dapat dibasuh dan dipakai berulang kali berbanding pelitup muka perubatan yang disarankan KKM.

"Namun harus diingatkan fungsi kedua-dua pelitup muka itu berbeza dari segi material dan fungsi malah boleh memberi kesan jika seseorang itu kerana risiko jangkitan boleh berlaku lebih mudah jika terus memakai pelitup muka fabrik," katanya.

Katanya, jika orang ramai mahu memakai pelitup muka fabrik jenis tiga lapisan seperti disarankan WHO, harganya mungkin sedikit mahal iaitu sekitar RM30 hingga RM40.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 5:04 PM