YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menziarahi penduduk yang sakit ketika mencemar duli menziarah rakyat di Kampung Kelat Rendang. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menziarahi penduduk yang sakit ketika mencemar duli menziarah rakyat di Kampung Kelat Rendang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan keprihatinan apabila mencemar duli menziarah dua pesara tentera di daerah Pekan, sempena Hari Pahlawan, baru-baru ini.

Baginda yang berkenan memandu sendiri kenderaan turut meluangkan masa bertanya khabar kepada Nazeri Mohamed Zin, 64, apabila melihat keadaan pesara tentera itu yang terlantar di ruang tamu rumahnya di Kampung Pasir Panjang, Pekan akibat serangan angin ahmar sejak 13 Julai 2012.

Isteri Nazeri, Noorhan Abd Rahim, 59, yang menjunjung kasih atas kehadiran baginda di rumah mereka, menyifatkan suaminya bertuah kerana berpeluang dilawati oleh Al-Sultan Abdullah walaupun sudah lebih tiga dekad meninggalkan badan beruniform itu.

"Suami hanya seorang prebet dan sudah terlalu lama bersara... jadi memikirkan masih ada yang ingat dan dapat pula menerima kunjungan Seri Paduka ialah rezeki tidak dijangka, malah tidak pernah sekalipun saya terfikir dapat bertemu Seri Paduka secara dekat.

"Tuanku begitu prihatin dan bertanya bagaimana kami mendapat belanja bulanan selain turut menyemak dengan pegawai yang turut berada di rumah mengenai bantuan tersebut," katanya kepada Bernama semasa ditemui, hari ini.

Al-Sultan Abdullah pada ziarah itu turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada Nazeri yang berkhidmat dalam tentera selama 14 tahun bermula 27 Mei 1975 dan pernah bertugas di Pahang serta Kelantan.

Selain Nazeri, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mencemar duli menziarah bekas petugas am Rejimen 505 Askar Wataniah, Hasimah Sulaiman, 62, di Kampung Kelat Rendang, Pekan yang juga ibu tunggal dan mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit buah pinggang.

Hasimah yang berkhidmat selama 12 tahun sejak 1977 berkata, anaknya Mohd Akhmar Hakim, 29, perlu menjalani rawatan dialisis di Hospital Pekan tiga kali seminggu selepas kedua-dua buah pinggangnya disahkan rosak pada usia 17 tahun.

Ibu kepada sepasang cahaya mata itu berkata, dia berpisah dengan bekas suaminya sekitar 1994.

"Anak tidak bekerja kerana tidak boleh berdiri lama menyebabkan kami berjimat cermat dengan elaun sara hidup yang diperoleh setiap bulan, selain bantuan lain. Seri Paduka ada bertanya mengenai kesihatan anak.

"Dua hari lepas ada wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) beritahu Seri Paduka akan berangkat ke rumah. Saya mulanya gementar kerana bukan orang besar dalam tentera, sebaliknya banyak buat kerja pentadbiran dan sekatan jalan raya sahaja," katanya.

Al-Sultan Abdullah pada keberangkatan pulang ke Istana Abdulaziz di Kuantan turut berkenan mencemar duli bersantap tengah hari di Restoran Kak Nah yang terletak berhampiran jalan masuk ke Istana Abu Bakar, Pekan.

Pemilik restoran, Rosnah Mohd Amin, 68, berkata dia menjunjung kasih kesudian baginda untuk bersantap di kedainya, selain turut berkenan menjelaskan bayaran pelanggan lain.

"Saya seronok kerana ada rezeki menjamu Seri Paduka bersantap ikan jelawat yang dipancing di Sungai Pahang petang semalam. Kebetulan, hanya seekor sahaja jelawat diperoleh untuk jualan hari ini yang dimasak tempoyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:20 PM