YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli bersantap pagi di kediaman Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli bersantap pagi di kediaman Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan. FOTO BERNAMA

BERNAMA

“SAYA gemuruh sebenarnya memasak untuk Raja Permaisuri Agong kerana nama baginda memang tersohor dalam bidang masakan,” akui Datin Josepine Anak Dagang yang berpeluang menjamu juadah masakan beliau kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Josepine yang juga isteri kepada Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai kesudian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah mencemar duli bersantap pagi di kediaman mereka di Kedutaan Malaysia di Tokyo, hari ini.

Bagi menghargai perkenan Seri Paduka berdua, Josepine berkata, juadah disediakan ialah nasi lemak, rendang daging, sotong masak kicap, udang masak lemak dan karipap selain turut menyajikan mi goreng, kuih lapis dan kuih seri muka yang disediakan rakyat Malaysia di sini.

“...bimbang jika masakan saya tidak menepati citarasa Seri Paduka berdua kerana saya bukanlah tukang masak yang hebat. Saya mengagumi kehebatan Tunku Azizah dalam bidang masakan sehingga mempunyai buku masakan baginda dan pernah mencuba resipi di dalamnya.

“Tapi, saya beranikan juga untuk memasak hari ini kerana tahu peluang seperti ini tidak mudah diperoleh,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Josepine berkata, beliau dimaklumkan mengenai kesudian Seri Paduka berdua mencemar duli ke kediamannya, petang semalam, dan sejak itu segera membuat persediaan termasuk membeli barang basah dengan bantuan kakitangan dan isteri rakyat Malaysia di sini.

Sementara itu, Kennedy berkata beliau memberanikan diri untuk mengundang Al-Sultan Abdullah bersantap pagi di kediamannya secara spontan dan terharu apabila Seri Paduka dengan pantas menzahirkan perkenan untuk memenuhi undangan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di Tokyo sejak Isnin selepas berkenan mencemar duli memenuhi undangan kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Ke-126 mereka, Maharaja Naruhito yang berlangsung di Istana Imperial, semalam.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan sebagai Maharaja pada 1 Mei lalu selepas ayahanda baginda, Maharaja Akihito, 85, melepaskan kedudukan tertinggi dalam hiraki pemerintahan negara matahari terbit itu atas faktor kesihatan.

Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baharu Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib dan mengakhiri era ‘Heisei’ bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 12:05 PM