Yusmizal Dolah Aling


PROSES pendaftaran berperingkat bagi 30,000 pelajar di 15 kampus kolej matrikulasi di seluruh negara akan bermula dari 3 Ogos sehingga 7 Ogos ini.

Manakala, institut pendidikan guru (IPG) akan dibuka pada September depan membabitkan 5,000 pelajar baru dan 8,000 pelajar sedia ada.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bersetuju dengan pembentangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan semula kolej matrikulasi dan IPG.

INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. FOTO Mohd Yusni Ariffin
INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. FOTO Mohd Yusni Ariffin

"Pembukaan semula itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang dipersetujui.

"Antara langkah-langkah bagi mengawal penularan Covid-19 termasuk penjarakan sosial serta keselamatan dan kebersihan diri dan masyarakat sekeliling.

"Pendaftaran secara berperingkat itu dibuat bagi mengelakkan kesesakan sekiranya dilakukan serentak," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Katanya, semua SOP berkaitan boleh disemak menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 3:15 PM