Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Pendidikan memutuskan untuk mengekalkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu bagi melahirkan lebih ramai warga pendidik berkualiti termasuk sebagai pusat pendidikan peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sebelum ini IPG berkenaan akan ditukar fungsi menjadi Kolej Vokasional oleh kerajaan terdahulu.

“Namun, kami membuat keputusan untuk meneruskan institut ini kerana sangat diperlukan rakyat Kelantan. Kami mendengar pandangan banyak pihak dan prihatin serta cakna dengan keperluan bagi melahirkan lebih ramai guru.

“IPG ini bukan sahaja melatih guru dari negara kita, malah ia turut menerima pelajar luar negara termasuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam.

“Setakat ini, kami memberi latihan kepada 30 guru dari Selatan Thailand dengan kerjasama Jabatan Bahasa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor dan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Hashim Deraman.

Maszlee turut mengumumkan peruntukan lebih RM1 juta untuk membaik pulih, penyelenggaraan dan membaiki kerosakan di empat sekolah masing-masing iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Chantum sebanyak RM130,000; SK Pa Pura RM463,200; SK Seri Kemudi RM479,600 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor RM30,000.

Maszlee berkata, kerajaan terdahulu mahu menukar fungsi IPG Kampus Kota Bharu kepada Kolej Vokasional dengan alasan tidak menerima kemasukan penuntut yang cukup, banyak peruntukan lebih tidak digunakan, namun ada kelas kosong dan kualiti dikehendaki tidak sampai.

“Kalau kualiti dikehendaki tidak cukup, kami cuba tingkatkan dan mahu IPG Kampus Kota Bharu bertaraf seperti Universiti International Singapura melalui sokongan pensyarah dengan menukar budaya dan sistem mereka.

“Kami harap IPG ini dapat membawa nilai ekonomi kepada Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 12:28 AM
DR Maszlee (kiri) menerima memorandum Terima Kasih IPG Kampus Kota Bharu daripada Pengerusi Alumni IPG berkenaan, Yaakob Ismail ketika hadir di Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu di Pengkalan Chepa, semalam. FOTO Fathil Asri.
DR Maszlee (kiri) menerima memorandum Terima Kasih IPG Kampus Kota Bharu daripada Pengerusi Alumni IPG berkenaan, Yaakob Ismail ketika hadir di Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu di Pengkalan Chepa, semalam. FOTO Fathil Asri.