Noor Hidayah Tanzizi

Pasir Salak: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi jaminan harga barangan makanan termasuk ayam segar bulat di pasar tani seluruh negara lebih berpatutan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, peniaga pasar tani boleh mendapatkan bekalan secara terus dari ladang tanpa melalui orang tengah yang mengaut keuntungan kira-kira 20 hingga 30 peratus.

"Harga barangan adalah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Cuma barang yang dijual di pasar tani dijual lebih rendah, kita akan buat terbaik untuk rakyat.

"Kita harapkan kalau boleh peniaga ambil terus dari ladang untuk jual di pasar tani Fama. Sebagai contoh, ayam kalau terus beli dari ladang mungkin harga boleh turun kepada RM6 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja bersama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ke program MyRakyat dan Pasar Tani Kekal (PTK) Kampung Gajah, di sini, hari ini.

PTK berkenaan menelan kos projek bernilai RM2.6 juta akan beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 6 petang setiap hari dijangka beroperasi Mac hadapan dengan menempatkan 14 unit lot basah dan 70 lot kering serta tujuh lot medan selera.

Semntara itu Mohd Fasiah berkata, anggaran penjanaan ekonomi bagi tahun pertama pengoperasian PTK berkenaan adalah dijangka sebanyak RM11 juta.

Katanya, 90 peratus peniaga di PTK itu adalah dari Perak Tengah dengan perpindahan keseluruhan peserta dari Pasar Awam Kampung Gajah ke PTK berkenaan.

MOHD Fasiah (dua kanan) melihat plan pembangunan PTK Kampung Gajah bersama Tajuddin. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MOHD Fasiah (dua kanan) melihat plan pembangunan PTK Kampung Gajah bersama Tajuddin. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 2:20 PM