Suraya Roslan


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menangguhkan dan mengkaji semula pelaksanaan sistem e-lelong yang dikuatkuasakan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, seramai 2,300 pelelong individu dari seluruh negara berpotensi kehilangan pendapatan mereka yang terjejas akibat sistem e-lelong yang menguntungkan pihak tertentu saja.

"Kami menggesa sistem e-lelong ditangguhkan dan dikaji semula oleh kerajaan dan berjumpa dengan mereka bagi mengetahui perkara sebenar dan situasi semasa yang nyata hanya menguntungkan sesetengah pihak dikuasai kurang daripada 10 syarikat pelelong.

"Individu ini kehilangan pendapatan RM5,000 sebulan akibat sistem ini," katanya dalam sidang media di Wisma Cuepacs, di Kuala Lumpur, hari ini.

Adnan berkata, penamatan lebih 2,300 pelelong menjadikan industri lelongan hartanah dikuasai kurang daripada 10 syarikat panel bank.

"Setiap syarikat yang memonopoli e-lelong ini mempunyai sehingga tiga pelelong dan ini menyebabkan 2,300 pelelong individu kehilangan pendapatan kira-kira RM11 juta sebulan," katanya.

Katanya, hasil perbincangan dengan wakil persatuan pelelong setiap negeri bersama Cuepacs, mereka mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan sistem hibrid yang memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pelelong dalam talian dan pelelong konvensional.

"Cuepacs mencadangkan sistem lelongan hibrid diperkenalkan memandangkan sistem dalam talian ini hanya boleh dimanfaatkan di kawasan yang mempunyai talian internet berkelajuan tinggi saja tetapi tidak dapat digunakan sepenuhnya di luar bandar.

"Kami lihat ini saja (sistem hibrid) jalan penyelesaian untuk membolehkan semua pihak berada dalam situasi menang-menang," katanya.

Katanya, Cuepacs menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan mengenai isu itu dan memohon satu perjumpaan dengan Perdana Menteri diadakan segera.

ADNAN Mat mempengerusikan sidang media lebih 2,300 pelelong hartanah hilang kerja dan kenaikan harga hartanah lelong akibat perlaksanaan sistem E-Lelong Kehakiman di Wisma CUEPACS. FOTO Mustaffa Kamal
ADNAN Mat mempengerusikan sidang media lebih 2,300 pelelong hartanah hilang kerja dan kenaikan harga hartanah lelong akibat perlaksanaan sistem E-Lelong Kehakiman di Wisma CUEPACS. FOTO Mustaffa Kamal

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 2:07 PM