PASTIKAN anda mempunyai maklumat yang cukup sebelum menyertai bidaan lelongan rumah.
PASTIKAN anda mempunyai maklumat yang cukup sebelum menyertai bidaan lelongan rumah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEADAAN ekonomi yang tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini ditambah dengan penularan pandemik Covid-19 jelas menjejaskan kewangan orang ramai.

Ia turut menyebabkan semakin banyak rumah dilelong kerana ramai yang gagal membayar komitmen bulanan mereka kepada institusi perbankan.

Pengasas Saudagar Hartanah, Ahmad Firdaus Mahmod berkata, meskipun tiada angka rasmi yang dilaporkan namun berdasarkan pemerhatiannya, memang jumlah rumah untuk dilelong di negara ini semakin meningkat dan berada dalam kategori sekunder ('subsale').

Begitupun, katanya, rumah lelong juga mempunyai kelompok peminat tersendiri kerana ia memiliki banyak kelebihan antaranya harga yang jauh lebih murah.

"Harga rumah lelong biasanya 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran biasa dan ada juga yang lebih murah berbanding harga asal dijual pemaju.

"Harga lebih murah adalah faktor utama mengapa ramai yang memilih untuk membeli rumah lelong.

"Selain itu, lokasi rumah lelong juga ada berada di kawasan strategik dan sudah matang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ahmad Firdaus lagi, rumah lelong juga memiliki keburukan antaranya pembida tidak dapat melihat keseluruhan dalaman rumah, rumah rosak dan memerlukan banyak kerja pembaikan, mewarisi hutang lapuk, rumah berpenghuni dan banyak lagi.

Katanya, ketika lelongan, pembida hanya mengetahui maklumat asas pengisytiharan jualan tanpa dapat memeriksa keadaan rumah terlebih dahulu.

"Jika sudah pergi meninjau sekali pun, pembeli sukar untuk mengetahui keadaan sebenar dalaman rumah kerana hanya melihat dari luar sahaja.

"Untuk rumah jenis pangsapuri pula, pembeli mungkin terpaksa membayar tunggakan bayaran penyelenggaraan atau cukai berkaitan.

"Paling tidak diingini jika rumah yang dibeli mempunyai penghuni tidak kiralah pemilik lama atau penyewa yang tidak mahu memberikan kerjasama untuk mengosongkannya, pasti akan membabitkan proses undang-undang," katanya.

Jelas Ahmad Firdaus, tidak semua rumah lelong berada dalam keadaan kurang terurus kerana ada yang dijaga baik oleh bekas pemilik atau penyewa terdahulu.

Begitupun, kata Ahmad Firdaus, penelitian terperinci selain mempunyai pengetahuan mendalam mengenai proses dan latar belakang lelongan hartanah akan mengurangkan risiko kepada pembeli serta mengelakkan daripada menghadapi masalah besar di kemudian hari.

Sebaiknya kata Ahmad Firdaus, lawatlah rumah yang mahu dibida terlebih dahulu untuk mengetahui siapa penghuninya dan keadaan semasa hartanah itu.

"Pembeli juga boleh membuat anggaran kasar kos baik pulih yang diperlukan bagi membolehkan persediaan awal kewangan dilakukan," katanya.

Menurut Ahmad Firdaus lagi, terdapat dua jenis kaedah untuk membida rumah lelong iaitu secara 'offline' iaitu pergi ke tempat lelongan atau dibuat secara online (di dalam talian)

"Untuk lelongan secara 'offline' (fizikal), pembida perlu membawa draf bank 10 peratus daripada harga rumah yang ingin dibida.

"Bagi lelongan secara online (dalam talian), pembida perlu mendaftar di portal e-lelong, boleh melayari penyenaraian hartanah dan jika ada yang berkenan, daftarlah sebagai pembida serta membayar deposit yang ditetapkan," katanya.

Ahmad Firdaus berkata, untuk membeli rumah lelong sememangnya memerlukan wang tunai yang agak banyak kerana akan ada kos-kos yang terbabit ketika pembelian rumah.

Antaranya, 10 peratus deposit pendahuluan dalam bentuk draf bank daripada rizab harga rumah dan wang tunai tambahan untuk menambah nilai perbezaan jumlah deposit antara harga bidaan berjaya.

"Selain itu, kos guaman membabitkan yuran guaman, duti stamp, carian di pejabat tanah, pengangkutan, pencetakan dan lain-lain kos yang dianggarkan kira-kira lima peratus daripada harga belian juga perlu diambil kira.

"Tunggakan bayaran penyelenggaraan atau cukai dengan pihak berkuasa tempatan juga perlu diselesaikan dan sebagai pembeli baharu, anda perlu menanggungnya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Firdaus turut menasihatkan orang ramai yang ingin membeli rumah lelong supaya tidak mengikut emosi ketika sesi lelongan dijalankan.

Ia bagi mengelakkan daripada terbeli hartanah yang jauh lebih mahal dari harga pasaran semasa.

"Pembida perlu tahu kelayakan kewangan masing-masing dan jangan sesekali membida mengikut emosi.

"Apapun, jika kurang arif, bolehlah menggunakan khidmat ejen berdaftar kerana mereka lebih berpengalaman dan memudahkan proses pembelian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 7:00 AM