MOHD Ali ketika berucap pada majlis Majlis Minum Petang Sempena Pelancaran Sistem Code TeKAD (Sistem Lelongan Barang Kemas Secara Dalam Talian), Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.
MOHD Ali ketika berucap pada majlis Majlis Minum Petang Sempena Pelancaran Sistem Code TeKAD (Sistem Lelongan Barang Kemas Secara Dalam Talian), Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) membangunkan platform Program Pengukuhan Digital Koperasi (CODE) Teknologi e-lelong Koperasi Alternatif Dagangan (TeKAD) untuk aktiviti perniagaan Ar-Rahnu dalam koperasi.

Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor berkata, pada peringkat awal sebanyak 20 koperasi terpilih menyertai sistem lelongan barangan kemas secara dalam talian itu.

Menurutnya, jika koperasi yang terbabit dalam perniagaan Ar-Rahnu itu memiliki barangan kemas yang disimpan atau tidak terjual, ia akan dilelong melalui sistem berkenaan.

"Koperasi yang terbabit bukan sahaja dapat menggunakan platform e-lelong, malah latihan berkaitan penggunaan, latihan promosi secara digital di media sosial, latihan penggunaan sistem dan latihan pemasaran digital yang dibiayai sepenuhnya oleh IKMa untuk tempoh dua tahun.

"Platform ini akan membolehkan koperasi yang berkenaan membuat lelongan kepada pelanggan atau pembida barangan kemas atau barangan emas Ar-Rahnu di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan CODE TeKAD iaitu sistem lelongan barang kemas secara dalam talian, di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, dianggarkan kira-kira 1.5 juta bakal pembida yang juga anggota koperasi terpilih itu selain orang awam akan dapat mengakses maklumat daripada platform berkenaan.

"Antaranya adalah seperti maklumat butiran barangan lelongan, rekod transaksi lepas, maklumat koperasi pelelong dan tempoh lelongan dijalankan. Ia mudah dan cepat.

"Pembida yang menggunakan platform ini boleh menggunakan mod bayaran tanpa tunai secara gerbang pembayaran elektronik (payment gateway) yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 7:20 PM