BERNAMA

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengesyorkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan polis dalam kalangan Orang Asli atau Unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mencadangkan tangga gaji perkhidmatan bermula di peringkat Sijil Pelajaran Menengah (SPM), Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata, pihaknya mendapati skim perkhidmatan sedia ada agak ketinggalan dari segi gaji berbanding kemahiran luar biasa yang dimiliki dan risiko ketika menjalankan tugas.

"Mereka mempunyai kemahiran amat luar biasa, mengetahui selok-belok perjalanan dalam hutan, kemahiran mengetahui bilangan musuh hanya dengan melihat bentuk pokok dan haiwan yang wujud di hutan dan lain-lain kemahiran.

"Janganlah kita menilai mereka atau mengiktiraf selepas mereka meninggal dunia, biarlah waktu sedang berkhidmat ini boleh menikmati skim perkhidmatan lebih baik kerana mereka telah pun berikan yang terbaik kepada negara dengan menjaga sempadan yang sentiasa terdedah dengan ancaman bahaya," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) Sub Inspektor Ayub Shafie.

Adnan berkata ketika ini terdapat 862 anggota Senoi Praaq berkhidmat di dua batalion iaitu PGA Batalion 3 di Bidor, Perak dan PGA Batalion 18 di Pengkalan Hulu.

Mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing, Adnan berpandangan ia mungkin disebabkan wujud tekanan yang akhirnya memberi kesan buruk kepada pemberi maklumat.

Katanya, pelbagai tekanan dialami penjawat awam peringkat bawahan iaitu termasuk kemungkinan ditukar tempat bertugas, disekat kenaikan pangkat, kesusahan dalam jadual tugasan dan skop tugas yang mungkin diubah dari semasa ke semasa selepas aduan rasuah dibuat ke atas ketua jabatan tertentu.

"Kami anggota perkhidmatan awam melihat ia 'end of process' yakni aduan nak melaporkan ketua perkhidmatan yang rasuah akhirnya akan 'backfire' (memakan diri) kepada orang yang memberi maklumat.

"CEUPACS mengambil maklum perkara ini dan akan melihat bagaimana mekanisme setiap laporan yang dibuat oleh penjawat awam mengenai rasuah dalam jabatannya, supaya ia tidak memberi kesan kepada pelapor," katanya.

Adnan berkata, Prinsip Liabiliti Korporat yang menggalakkan organisasi komersial mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan perniagaan dijalankan tidak terbabit dengan aktiviti rasuah wajar diperluaskan kepada jabatan dan agensi perkhidmatan awam.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, data suruhanjaya itu menunjukkan hanya 342 penjawat awam tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lalu, angka yang masih rendah dalam usaha merealisasikan sifar rasuah dalam perkhidmatan awam.

Adnan Mat pada sidang media Cuepacs di Wisma CUEPACS. FOTO ASWADI ALIAS
Adnan Mat pada sidang media Cuepacs di Wisma CUEPACS. FOTO ASWADI ALIAS

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 5:14 PM