Antara nelayan asing yang ditahan TLDM di perairan Bagan Datuk semalam. Foto Ihsan TLDM
Antara nelayan asing yang ditahan TLDM di perairan Bagan Datuk semalam. Foto Ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan tempatan bersama enam warga Indonesia tanpa permit di perairan Bagan Datuk dalam Op Benteng semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TLDM di Facebook rasminya hari ini, ketiga-tiga bot itu ditahan pasukannya yang diketuai oleh Leftenan Mohd Hafizi Mohamad pada 11.12 malam ketika membuat rondaan di perairan berkenaan.

"TLDM dan APMM bertindak berdasarkan maklumat yang diterima dan membuat rondaan sebelum berjaya mengesan tiga bot nelayan tempatan kelas A yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

"Pemeriksaan mendapati enam awak-awak bot itu adalah warga Indonesia yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan surat kebenaran dari Jabatan Perikanan Malaysia.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurutnya, TLDM dan APMM sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon perairan negara melalui OP Benteng.

Katanya, ia bagi memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 8:48 PM