TLDM menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 23 kru warga negara itu yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 13 batu nautika utara Pulau Tioman, Pahang, semalam. FOTO ihsan TLDM
TLDM menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 23 kru warga negara itu yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 13 batu nautika utara Pulau Tioman, Pahang, semalam. FOTO ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Sebuah bot nelayan Vietnam bersama 23 kru warga negara itu ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana menceroboh perairan negara di kedudukan 13 batu nautika utara Pulau Tioman, Pahang semalam.

Bot terbabit dikesan dan ditahan Kapal Diraja (KD) Ganyang milik TLDM ketika sedang melaksanakan rondaan hasil perkongsian maklumat daripada Persatuan Nelayan Endau pada 10.36 pagi.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, sebelum itu pihaknya mengesan keberadaan dua bot nelayan Vietnam.

Katanya, KD Ganyang berjaya menahan sebuah bot nelayan, manakala sebuah lagi bot didapati sudah beredar meninggalkan kawasan berkenaan ke arah utara.

"Hasil pemeriksaan mendapati 23 orang tekong dan awak-awak warga Vietnam tidak mempunyai dokumen penangkapan ikan yang sah.

"Mereka ditahan atas kesalahan menceroboh perairan negara serta mengaut khazanah negara secara haram," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Lumut, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semua awak-awak dan bot berkenaan dibawa ke Tambatan Pangkalan TLDM Kuantan untuk proses selanjutnya.

Katanya, penahanan itu membuktikan keupayaan TLDM dalam menangani ancaman perairan negara selain memastikan setiap pencerobohan dikenakan tindakan undang-undang.

"TLDM akan mengekalkan inisiatif perkongsian maklumat bersama komuniti maritim. TLDM juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara pada setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 11:46 AM