ZULKIFLI (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Samadi Ahmad
ZULKIFLI (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


PENUNTUT sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sarawak dan penganggur ditahan polis selepas cuba menyeludup dadah disyaki syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 22 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, keldai dadah berusia 19 dan 22 tahun itu ditangkap secara berasingan di KLIA2.

Zulkifli berkata, suspek menerima upah kira-kira RM600 bagi setiap dadah yang diperoleh dari pembekal di Selangor untuk diedar di Miri, Sarawak.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan lelaki berumur 22 tahun di kawasan pelepasan KLIA2 dan hasil pemeriksaan ke atas bagasi menemui lima bungkusan teh cina mengandungi bahan disyaki syabu anggaran berat 5.293 kilogram (kg) anggaran rampasan sebanyak RM200,000.

"Hasil ujian saringan urin mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Bangunan Pengurusan Malaysia Airport di KLIA hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA, Asisten Superintendan Mohd Sahar Mohd Yunus dan Pegawai Risikan Operasi dan Tahanan KLIA Asisten Superintendan Syairazi Shahapuzi.

Zulkifli berkata, tangkapan kedua membabitkan pelajar IPTA di pintu pelepasan KLIA2 pada jam 4.15 petang dan pemeriksaan ke atas bagasi menemui enam bungkusan disyaki syabu anggaran berat 6.341 kg dengan nilai rampasan sebanyak RM240,000.

Menurutnya, penuntut itu negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Dua suspek itu direman bermula semalam sehingga 29 Julai ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

"Berdasarkan maklumat kedua-dua suspek dalam perjalanan ke Sarawak dengan penerbangan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 12:13 PM