Zulkifli (tengah) menunjukkan dadah seberat 20 kilogram bernilai RM900,000 yang dirampas daripada seorang suspek di KLIA dalam sidang media di Nilai, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Zulkifli (tengah) menunjukkan dadah seberat 20 kilogram bernilai RM900,000 yang dirampas daripada seorang suspek di KLIA dalam sidang media di Nilai, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


TAKTIK seorang lelaki membawa bungkusan serbuk kunyit dalam bagasinya gagal apabila pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati serbuk itu adalah dadah jenis ketamin bernilai RM900,000.

Lelaki berusia 37 tahun yang menaiki penerbangan dari Mumbai, India itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.45 pagi, 13 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata, pemeriksaan pada bagasi yang dibawanya menemui dua bungkusan serbuk berwarna coklat.

“Suspek mendakwa ia adalah serbuk kunyit yang dibeli dari sebuah pasar raya di Mumbai untuk dijadikan bahan campuran bagi menghasilkan minuman kesihatan.

“Namun, hasil ujian saringan Jabatan Kimia mengesahkan serbuk berkenaan mengandungi dadah jenis ketamin seberat 20 kilogram,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, Nilai, hari ini.

Zulkifli berkata, hasil soal siasat mendapati suspek adalah pemilik sebuah pusat karaoke di ibu kota.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek sudah empat kali berulang-alik ke Mumbai sepanjang tahun ini dipercayai atas urusan sama.

Menurutnya, suspek direman selama 14 hari hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 12:05 PM