Zulkifli (tengah) menunjukkan dadah yang disorok dalam 54 'clutch bag'. Turut sama, Paddy (kiri) dan Hamzah. FOTO  Noor Atiqah Sulaiman
Zulkifli (tengah) menunjukkan dadah yang disorok dalam 54 'clutch bag'. Turut sama, Paddy (kiri) dan Hamzah. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
Nursyahirah Marzuki


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan penyeludupan sebanyak 8.73 kilogram (kg) dadah jenis ketamin yang bernilai RM376,650 serta menahan lelaki warga India, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/ Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Datuk Zulkifli Yahya berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di KLIA pada 7.40 pagi Ahad lalu yang tiba melalui penerbangan Malindo Air dari Kochi, India.

"Hasil imbasan dan pemeriksaan mendapati serbuk kristal putih disyaki ketamin di dalam 54 'clutch bag' yang disorokkan dalam bagasi suspek," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kastam Datuk Paddy Abd Halim, Pengarah JKDM KLIA Datuk Hamzah Sundang dan Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) KLIA Abdull Wahid Sulong.

Zulkifli berkata, suspek yang pertama kali ke Malaysia itu disyaki mempunyai rangkaian sindiket dadah di dalam negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati," katanya.

Dalam perkembangan lain, JKDM KLIA berjaya menahan tiga suspek dalam dua kes berasingan atas kesalahan import dan eksport mata wang serta keperluan mengikrar.

"Bagi kes pertama, seorang lelaki Yaman ditahan di Balai Ketibaan KLIA pada 17 Mei kerana gagal mengisytihar ke atas sejumlah mata wang Euro yang bernilai RM140,380 dijumpai di dalam poket seluarnya.

"Manakala, dua suspek lain iaitu suami isteri warga Thailand ditahan di Balai Ketibaan KLIA2 kerana gagal mengisytihar serta mengemukakan surat kelulusan daripada Bank Negara ke atas mata wang Ringgit Malaysia yang bernilai RM700,000 dijumpai di dalam dua bagasi dibawa mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 1:06 PM