Mat Shukor pada sidang media ketika ditemui di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Lubok Stol, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mat Shukor pada sidang media ketika ditemui di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Lubok Stol, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Permintaan tinggi daripada peminat burung dan ayam di negara ini dikenal pasti faktor peningkatan kes seludup spesis berkenaan di sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

Difahamkan, harga burung dan ayam berkenaan juga agak tinggi iaitu sekitar RM1,500 sehingga RM5,000 seekor menyebabkan penyeludup semakin aktif melakukan kegiatan itu.

Dalam kejadian terbaru, Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas sembilan ekor burung dan 73 ekor ayam pelbagai jenis di hadapan sebuah kedai di Pasir Mas, Ahad lalu.

Pegawai Pemerintah PGA8 Superitendan Mat Shukor Yusof berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas kesemua haiwan terbabit bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, kesemua rampasan bernilai RM378,500 itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri untuk siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

"Kita tidak menolak kemungkinan penyeludup terbabit semakin berani kerana haiwan itu mendapat permintaan tinggi daripada peminatnya termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Pemilikan haiwan berkenaan mungkin disebabkan pelbagai tujuan sama ada sebagai hobi, dibawa bertanding atau menjadi ayam laga," katanya.

Beliau berkata dalam sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Lubok Stol, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mat Shukor berkata, PGA8 melakukan rampasan berjumlah lebih RM3 juta dalam penugasan Op Benteng Covid-19 bermula 16 Ogos lalu sehingga semalam.

"Nilai rampasan berkenaan membabitkan 64 kes seperti kes dadah, lembu, haiwan eksotik dan beras seludup selain menahan 63 lelaki serta dua wanita yang majoriti adalah warga tempatan.

"Kebanyakan suspek yang ditangkap berusia 30-an sehingga 50-an yang mengaku menjadikan penyeludupan di sepanjang Sungai Golok, di sini, sebagai kerja sampingan," katanya.

Katanya, kesemua penyeludup diberi upah bergantung kepada risiko dan jenis barangan yang dibawa masuk atau keluar di antara dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 3:16 PM