RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
Mohamed Farid Noh


Pasir Gudang: Dua lelaki memakai gelang merah jambu yang dilihat melanggar arahan kuarantin wajib dengan keluar membeli makanan di Taman Sierra Perdana, Masai, di sini, sudah dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, polis mengesan satu rakaman video berdurasi 1 minit 32 saat yang memaparkan dua individu memakai gelang merah jambu keluar dari rumah.

Katanya, dua suspek itu dipercayai melanggar perintah kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pergi ke kawasan Jalan Sierra Perdana, Taman Sierra Perdana.

"Berikutan tular video suspek itu, siasatan lanjut dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

"Kedua-dua individu tempatan berusia 23 dan 46 tahun itu berjaya dikesan. Mereka adalah kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin bermula 14 Ogos lalu hingga Selasa ini.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 18 Ogos lalu kira-kira 8 malam. Kedua-dua suspek sepatutnya menjalani kuarantin kendiri keluar untuk membeli makanan di sebuah kedai berhampiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Katanya, kesalahan itu boleh dikompaun RM5,000 manakala Seksyen 269 Kanun Keseksaan, pula membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

"Kedua-dua suspek akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dan tindakan lanjut selepas selesai menjalani arahan perintah kuarantin wajib mereka.

"Orang ramai diingatkan supaya mematuhi peraturan yang dikeluarkan kerajaan supaya penularan wabak Covid-19 di negeri ini dapat dibendung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 11:29 AM