ZAINAL Abidin (kanan) membuat pemeriksaan mengejut di pasar raya. FOTO Nor Farhani Che Ad
ZAINAL Abidin (kanan) membuat pemeriksaan mengejut di pasar raya. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


SEMAKIN ramai dalam kalangan masyarakat didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, situasi itu dikesan menerusi pemantauan yang dijalankan pihak berkuasa sejak tiga hari lalu.

"Pemantauan dilakukan di beberapa lokasi antaranya premis makanan, premis perniagaan, masjid dan rumah ibadat, stesen pengangkutan awam, majlis keraian, tempat riadah dan sebagainya.

"Kita berasa resah apabila melihat ramai yang tidak mematuhi SOP yang dikeluarkan dan ini dikhuatiri menyebabkan peningkatan dalam kes Covid-19," katanya dalam sidang media yang diadakan di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Kuala Muda di Sungai Petani, hari ini.

Zainal Abidin berkata, kesalahan di premis perniagaan yang dikesan antaranya adalah tiada laluan keluar masuk yang ditetapkan, tiada kod QR atau mengambil butiran pelanggan seperti pemeriksaan suhu badan, nama dan nombor telefon.

Tambahnya, masih ramai yang tidak mengamalkan penjarakan sosial terutama di tempat awam selain ibu bapa yang tidak mengawal pergerakan anak-anak mereka daripada bercampur dengan individu yang lain.

Katanya, pihaknya akan terus meningkatkan perlaksanaan pemantauan bagi memastikan semua sektor perniagaan yang beroperasi serta setiap individu mengikut SOP yang ditetapkan.

"Mulai hari ini, kita tidak akan memberi nasihat atau amaran lagi sebaliknya tindakan undang-undang atau pun kompaun sebanyak RM1,000 dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati berlaku pelanggaran terhadap SOP yang ditetapkan.

"Jika anda mendapati ada yang tidak mematuhi SOP seperti pematuhan penjarakan sosial, kedai makan yang tidak menyediakan pramusaji dan sebagainya, tolong maklum kepada pihak berkuasa supaya kita mudah ambil tindakan," katanya.

Beliau turut membuat pemeriksaan mengejut ke atas restoran nasi kandar serta pusat membeli belah di Amanjaya dan satu kompaun dikeluarkan ke atas restoran nasi kandar terbabit selepas didapati tidak mematuhi SOP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 3:17 PM