Mohamed Farid Noh


TUKANG perabot dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas pertuduhan membunuh bekas isterinya, minggu lalu.

Tertuduh,Oh King Zee,33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Tertuduh yang mempunyai seorang anak perempuan dan lelaki berusia enam dan tiga tahun itu, didakwa membunuh bekas isterinya, Gong Jing Pei, 27, di sebuah rumah di Taman Ehsan Jaya, kira-kira 6 pagi, 15 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan serta tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai-Qi manakala tertuduh diwakili peguam, Yup Che Kai.

Terdahulu, pihak pendakwaan membantah permohonan peguam tertuduh yang mahu merujuknya ke Hospital Permai bagi mendapatkan laporan status mentalnya sebelum kes diteruskan dengan prosiding perbicaraan.

Choong berhujah, prosiding pendakwaan bukanlah forum yang tepat untuk permohonan itu berikutan laporan bedah siasat dan forensik kes masih belum diterima selain pihak pembelaan tidak membuat permohonan secara bertulis sebagai makluman awal.

Mahkamah menolak permohonan peguam dan menetapkan 6 September depan untuk sebutan semula bagi penyerahan laporan bedah siasat dan forensik.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun maut dipercayai dibunuh bekas suaminya dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Ehsan Jaya.

Anggota polis membawa Oh King Zee, 32, yang di tuduh membunuh isterinya, di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Kompleks Mahkamah Johor Bahru . FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Anggota polis membawa Oh King Zee, 32, yang di tuduh membunuh isterinya, di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Kompleks Mahkamah Johor Bahru . FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 12:50 PM