Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan termasuk rogol, liwat, peras ugut dan pukul antara Khamis dan Ahad lalu.

Tertuduh, S Dinesh Kumar, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim V M Mabel Sheela dan Majistret Nurasidah Abd Rahman.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Dinesh Kumar dituduh merogol dan meliwat seorang wanita berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Perling, kira-kira 6 pagi, 12 November lalu.

Bagi kedua-kedua kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dengan alasan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin namun memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 jika mahkamah membenarkannya.

Nur Sulehan berkata, tertuduh juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau di samping mangsa kejadian dilaporkan trauma berikutan terdapat elemen keganasan dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Amarpreet Singh berhujah tertuduh sudah kehilangan kerja sebagai pemandu van akibat Covid-19, menderita penyakit asma selain memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kesesakan lokap yang dibimbangi berlaku penularan wabak itu.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun hakim memberi amaran kepada tertuduh supaya tidak gagal hadir pada setiap kali sebutan kes dan perbicaraan diadakan nanti.

"Pertuduhan kamu serius, saya beri amaran supaya kamu hadir setiap kali sebutan dan perbicaraan sebelum jam 9 pagi dan sekiranya gagal dan kamu beri pelbagai alasan tidak hadir, kamu akan dipenjarakan," katanya.

Di Mahkamah Majistret, Dinesh Kumar juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan iaitu mengugut dan mencederakan mangsa di lokasi dan waktu sama.

Pendakwaan terhadap kedua-dua kes itu dibuat mengikut Seksyen 385 dan 323 Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua dan tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan memberikan makluman diri palsu kepada pihak polis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sementara itu, dua rakan mangsa turut dihadapkan di mahkamah sama terhadap dua pertuduhan mencederakan rakannya itu dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun Salwani Yusof, 27, dan Dewi Riskasari, 25, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu dan mahkamah membenarkan mereka dijamin masing-masing sebanyak RM3,500 dan RM4,000.

Kes di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai-Qi manakala Salwani dan Dewi tidak diwakili peguam.

Hakim Mabel Sheela dan Majistret Nurasidah A Rahman kemudian menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan dokumen.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, dilaporkan berkata, seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan disyaki berkaitan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

DINESH Kumar (tengah) didakwa atas enam pertuduhan membabitkan rogol, liwat, pemerasan dan mencederakan seorang wanita, selain berhadapan tuduhan gagal kemuka pengenalan serta memberi butiran diri palsu di Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majisteret Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
DINESH Kumar (tengah) didakwa atas enam pertuduhan membabitkan rogol, liwat, pemerasan dan mencederakan seorang wanita, selain berhadapan tuduhan gagal kemuka pengenalan serta memberi butiran diri palsu di Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majisteret Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 1:47 PM