Omar Ahmad

PEMBANTU Tadbir Kewangan Pejabat Kesihatan Daerah Muar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas enam pertuduhan memperdaya membabitkan nilai RM109,930, lima tahun lalu.

Meriam Mamat, 57 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Meriam melakukan semua kesalahan itu pada November 2015 dengan niat memperdaya prinsipal iaitu mengemukakan enam baucer bayaran berlainan menggunakan empat nama syarikat dengan jumlah yang berbeza dari RM16,880 hingga nilai RM19,100.

Prinsipal tertuduh iaitu Jabatan Kesihatan negeri Johor mempunyai kepentingan yang mengandungi butir matan palsu iaitu mengenai membekal barangan bukan ubat di lima Klinik Kesihatan (KK) berbeza iaitu KK Lenga, KK Parit Jawa, KK Air Hitam, KK Bakri dan KK Kampung Kenangan.

Bagaimanapun bekalan berkenaan tidak dibekalkan dan ia dalam pengetahuan tertuduh sekali gus mengelirukan prinsipal tertuduh.

MERIAM (tengah) mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu lebih RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
MERIAM (tengah) mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu lebih RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Meriam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan berpendapatan bersih bulanan kira-kira RM1,000 serta menghidapi beberapa penyakit antaranya sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke mana-mana Pejabat SPRM yang berdekatan setiap 1 hari bulan.

27 Ogos ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 12:26 PM