Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Tiga lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, menjadikan keseluruhan 16 orang didakwa di negeri ini sejak Isnin lalu atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkaitan tuntutan insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.

Pada prosiding hari ini, tertuduh Nick Farhan Zakiran Mahad, 30, Marzila Daud, 46, dan Siti Nor Sofwah Ahmad, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing membabitkan tuntutan insentif berjumlah RM136,100 yang dibuat antara 8 hingga 23 Mac 2021.

Mengikut pertuduhan, Nick Farhan Zakiran selaku pemilik syarikat NFZ Engineering didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama NFZ Engineering bertarikh 16 April 2021 melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM45,100 di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso.

Marzila dan Siti Nor Sofwah didakwa melakukan kesalahan sama dengan masing-masing mengemukakan borang pengesahan itu atas nama syarikat Ainnas Sweet Home Bakery bertarikh 8 Mac 2021 dan Nor Sofwah Tea (23 Mac 2021) bagi mendapatkan insentif berjumlah RM50,000 dan RM41,000.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan niat memperdaya Perkeso kerana dokumen pengesahan diberikan mengandungi pernyataan palsu berkenaan 'Maklumat Pekerja Baru' syarikat masing-masing.

NICK Farhan Zakiran (kanan), Siti Nor Sofwah dan Marzilah mengaku tidak bersalah kemuka dokumen palsu tuntut insentif Penjana 2.0. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
NICK Farhan Zakiran (kanan), Siti Nor Sofwah dan Marzilah mengaku tidak bersalah kemuka dokumen palsu tuntut insentif Penjana 2.0. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso, Wisma Perkeso Jalan Persekutuan, MITC, Ayer Keroh, masing-masing pada 16 April, 8 Mac dan 23 Mac 2021 dan pertuduhan adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong, sementara Marzila dan Siti Nor Sofwah masing-masing diwakili peguam Hafizah Sani dan Lim Kah Ee.

Tertuduh, Nick Farhan Zakiran tidak diwakili peguam.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin masing-masing berserta syarat melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan.

Hakim Elesabet kemudian membenarkan Marzila diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Siti Nur Sofwah dan Nick Farhan Zakiran masing-masing RM12,000 selepas menimbangkan rayuan mereka berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.

16 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 12:08 PM