FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohamed Farid Noh


BAYI berusia tiga bulan di Gelang Patah, di Iskandar Puteri, meninggal dunia ketika di bawah jagaan bapanya yang positif dadah, petang semalam.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, ibu dan nenek mangsa yang baharu pulang dari berniaga gerai makan di Gelang Patah, mendapati bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, nenek mangsa dan ibu bayi malang berkenaan membawa bayi itu ke Klinik Kesihatan Gelang Patah bagi mendapatkan rawatan.

"Pada 5.40 petang, nenek dan ibu bayi berkenaan sampai di bahagian kecemasan Klinik Kesihatan Gelang Patah.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia ketika diperiksa seorang doktor di situ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, hasil siasatan mendapati, semasa ketiadaan nenek dan ibu mangsa yang keluar berniaga warung makanan di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, suspek menjaga mangsa.

"Siasatan pada badan mangsa tidak menunjukkan sebarang kecederaan.

"Menurut ibu mangsa, bayinya mula pandai mengiring dan mahu meniarap itu lahir tidak cukup minggu (36 minggu) dan sering muntah susu selepas minum susu.

"Bayi itu lahir dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ibu mangsa tidak dapat membuat sijil lahir kerana perlu mendapatkan surat sumpah dari mahkamah terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, bapa bayi malang itu sudah ditahan dengan ujian air kencingnya mendapati dia positif dadah dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bayi malang itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan akan menjalani proses bedah siasat jam 9 pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematiannya, " tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 8:17 AM