GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


BAYI lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia dipercayai sesak nafas ketika berada di rumah pengasuhnya di Gelang Patah, Iskandar Puteri, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi malang, Muhammad Nufail Mohd Nasir atau dipanggil Noah tiba-tiba didapati mengalami sesak nafas oleh pengasuhnya yang berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, bapa bayi berkenaan menghantar dua anaknya iaitu Noah dan abangnya yang berusia dua tahun tujuh bulan ke rumah pengasuh sebelum ke tempat kerja.

"Namun pada jam 4.20 petang, bayi itu didakwa tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum pengasuh dan suaminya membawa Noah ke Klinik Kesihatan Gelang Patah lima minit kemudian bagi mendapatkan rawatan.

"Namun setibanya mereka di wad kecemasan di klinik itu jam 4.50 petang, bayi malang itu disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dzulkhairi berkata, pengasuh berkenaan juga menjaga seramai enam kanak-kanak dan tiga bayi di rumahnya yang masing-masing berusia antara dua bulan ke lapan tahun.

"Menurut pengasuh berkenaan, pada hari kejadian Noah berada dalam keadaan tidak ceria seperti biasa dan kurang minum susu serta makanan.

"Apabila pengadu menyuapkan susu, si mati menolak dan tidak mahu minum," katanya.

"Semasa dalam jagaan pengasuh berkenaan, bayi berkenaan juga didapati tidak ada mengalami kecederaan dan tidak pernah jatuh atau pun menunjukkan keadaan yang mencurigakan pada tubuh badannya," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada anggota badan mangsa juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan.

"Jenazah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat pagi tadi, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 3:17 PM