Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Bayi malang yang tersilap diberi minum susu dibancuh dengan cecair syabu sudah dibenarkan keluar hospital, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pemeriksaan kesihatan mendapati bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu stabil.

"Bayi sudah discaj dari Hospital Kajang semalam (Sabtu) dan kini dalam jagaan neneknya.

"Keadaan bayi sudah pulih," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Akhbar ini terdahulu melaporkan, suami isteri yang sedang khayal dadah diberkas polis selepas tersilap membancuh susu bayi mereka menggunakan cecair dadah syabu.

Kejadian yang hampir meragut bayi pasangan itu berlaku di flat didiami di Taman Medan, di sini, 19 Februari lalu.

Difahamkan bayi lelaki itu dihantar suami isteri terbabit kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.

Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal lalu wanita itu bertanya kepada ibu mangsa yang mengakui tersilap membancuh susu bayi menggunakan air syabu milik suaminya.

Susulan itu, polis menahan suami isteri berusia 34 dan 40 tahun bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Mengulas lanjut, Shahrulnizam berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada esok, untuk arahan lanjut sama ada sambung reman atau sebaliknya.

Katanya, tempoh reman pasangan terbabit akan tamat pada Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 3:20 PM