SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
SUSPEK yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN lelaki dan wanita memeras ugut seorang wanita untuk menyebar video aksi bogelnya jika enggan membayar RM10,000 mengundang padah apabila mereka ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, wanita berusia 22 tahun itu membuat laporan polis pada jam 6.50 petang, 9 Ogos lalu selepas dia menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

Menurutnya, suspek meminta mangsa membuat transaksi wang sebanyak RM10,000 jika tidak mahu video aksi bogelnya tersebar.

"Hal ini terjadi apabila mangsa sebelum ini pernah membuat panggilan video melalui aplikasi Wechat dengan seorang wanita yang dikenalinya melalui aplikasi 'TamTam'.

"Di dalam panggilan video itu, pengadu mengakui ada membuat aksi bogel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, bertindak atas maklumat, pada 8.50 malam tadi, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat tangkapan suspek berusia 27 dan 30 tahun di perkarangan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

"Suspek direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:02 PM