Zatul Iffah Zolkiply


PENUNTUT institut pengajian tinggi (IPT) di Kuala Terengganu bukan hanya menanggung malu selepas gambar bogelnya tersebar, malah kerugian RM600 apabila diugut bekas kekasih.

Kejadian dipercayai bermula apabila penuntut wanita berusia 19 tahun itu menerima mesej WhatsApps daripada bekas teman lelakinya pada Januari lalu.

Sumber berkata, suspek mengugut mangsa dan meminta penuntut itu memasukkan RM600 ke dalam akaunnya, jika tidak mahu gambar aibnya tersebar.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa akur arahan dan memasukkan wang seperti diminta pada 9 Februari lalu.

“Mangsa menyangka suspek tidak akan mengganggunya lagi, namun sangkaannya meleset apabila menerima mesej WhatsApps daripada kakaknya pada Ahad lalu, memaklumkan suspek menyebar gambar bogel.

“Kakak mangsa menasihati mangsa supaya tidak berhubung lagi dengan suspek dan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 4:27 PM