AZIZAN memberi isterinya, Sufiza susu melalui tiub selepas mengidap kanser esofagus tahap tiga sejak Mei tahun lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
AZIZAN memberi isterinya, Sufiza susu melalui tiub selepas mengidap kanser esofagus tahap tiga sejak Mei tahun lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


KANSER esofagus tahap tiga yang ditanggung sejak Mei tahun lalu menyebabkan tukang cuci, Sufiza Osman, 40, terpaksa makan bubur nasi dan minum susu melalui tiub.

Sufiza berkata, gajinya setiap bulan digunakan untuk pengangkutan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selain membeli susu khas berharga RM80 setin.

"Gaji saya hanya RM1,200 sebulan, selepas ditolak potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya, gaji bersih hanya RM900 sebulan.

"Duit itu saya guna membeli susu RM200 dan berulang-alik melakukan rawatan kimoterapi di HPP dua minggu sekali.

"Untuk ke Pulau Pinang, saya minta bantuan anak saudara yang perlu menghantar dan mengambil saya kerana setiap kali rawatan, saya dimasukkan ke wad selama tiga hari selepas sesi kimoterapi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia dijadual menjalani pembedahan lanjut pada September ini dengan kos yang belum diketahui.

Katanya, suami, Azizan Ismail, 47, hanya bekerja menoreh getah dengan pendapatan RM380 sebulan.

"Saya mendapat cuti sakit selama tiga bulan kerana badan terlalu lemah selepas melakukan rawatan kimoterapi, rambut saya sudah gugur selain berat badan turun mendadak daripada 75 kilogram (kg) ke 49 kg.

"Saya juga sukar membuang najis yang bercampur darah, selagi tidak menjalankan pembedahan, hidup saya tidak akan normal seperti orang lain.

"Sekarang hidup kami sekeluarga hanya cukup-cukup makan kerana perlu menanggung anak sulung yang belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dua lagi berada di sekolah menengah dan rendah," katanya.

Dia berkata, duit simpanan keluarga juga sudah habis diguna bagi menampung kos rawatan penyakitnya menyebabkan dia dan suami kini buntu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Sufiza di talian 017-5243037.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 3:30 PM