Nurul Amanina Suhaini


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang tekong tempatan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah dalam serbuan di perairan Tanjung Piai, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, tekong berusia 38 tahun itu dipercayai penghantar (transporter) ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 3.2 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM160,000 bertujuan diseludup ke negara jiran.

Katanya, menerusi rondaan Ops Benteng Laut kira-kira jam 3.30 pagi itu, tekong berkenaan cuba membuang beberapa tong plastik dari bot ke laut selepas menyedari dihampiri bot peronda APMM kira-kira 3.8 batu nautika tenggara Tanjung Piai, Johor.

AMINUDDIN menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AMINUDDIN menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Ketika pemeriksaan, anggota APMM menemui tong yang disorokkan di bawah tempat duduk mengandungi beberapa bungkusan plastik serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu.

"APMM percaya dadah itu bertujuan diseludup keluar dengan menggunakan modus operandi menyamar sebagai nelayan apabila barang rampasan turut mengandungi peralatan menangkap ikan dan tong ikan.

"Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai bergiat aktif sejak 2012, selain dua hingga tiga minggu lalu dia berjaya melepasi kawalan perairan negara untuk membuat penghantaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Johor, hari ini.

Aminuddin berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah RM202,000 merangkumi dadah, bot fiber berserta enjin sangkut 60 kuasa kuda dan sebuah kereta jenis Toyota.

"Hasil saringan awal urin mendapati suspek positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Orang ramai khasnya nelayan Johor diminta untuk terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat dan aduan menerusi talian hotline Pusat Operasi APMM Johor di talian 07-219 9404.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 11:52 AM