GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

KEGEMBIRAAN tiga beradik memancing di Pantai Dandulit dekat Sandakan, berakhir tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Fadlizan Idris, 20, ditemui oleh abang saudaranya, pada 3.22 petang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan berkata, sebelum kejadian, mangsa

bersama abang berusia 23 tahun dan seorang adik lelakinya berumur 13 tahun pergi memancing di pantai itu kira-kira 9 pagi.

Katanya, selepas kira-kira 30 minit memancing, tiga beradik itu mengambil keputusan untuk cuba menyeberang laut (berenang) ke kawasan batuan berhampiran,

Namun, berlaku arus ombak yang kuat dan ketiga-tiga beradik itu hanyut.

"Seorang nelayan kampung yang berada berhampiran menyedari kejadian dan berjaya menyelamatkan dua daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Sandakan menerima maklumat kejadian pada 11.11 pagi.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 1 tengah hari membabitkan pelbagai agensi dan orang awam.

"Mayat mangsa ditemukan oleh abang saudaranya kira-kira 30 meter dari tempat kejadian pada 3.22 petang dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 8:37 AM