Kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Adam ditemukan di bawah pokok di Kampung Kuala Jeneri, Sik pada 2018. Foto Ihsan JKM
Kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Adam ditemukan di bawah pokok di Kampung Kuala Jeneri, Sik pada 2018. Foto Ihsan JKM
Noorazura Abdul Rahman

Sik: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik sedang mencari waris atau ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki yang dirujuk oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sik pada 2018.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik Shamrul Izrin Isahak berkata, kanak-kanak berkenaan dianggarkan berusia enam tahun ketika menerima aduan orang awam pada tahun berkenaan.

"Kanak-kanak yang dikenali sebagai Adam ditinggalkan seorang diri di bawah pokok di Kampung Kuala Jeneri di sini, dan tidak ditemui sebarang dokumen pada dirinya.

"Memandangkan pada ketika itu tiada ahli keluarga atau waris yang tampil untuk menuntut kanak-kanak ini, Mahkamah Kanak-Kanak Sik memerintahkan agar dia diletakkan dalam jagaan JKM mengikut Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak Kanak 2001 Pindaan 2016.

Shamrul Izrin berkata, tarikh sebutan yang akan datang di Mahkamah Bagi Kanak Kanak Daerah Sik adalah pada 11 November 2021.

Katanya, Adam sudah tiga tahun berada di bawah jagaan JKM dan kini sudah berusia sembilan tahun.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai waris dari Kampung Kuala Jeneri itu diminta berhubung dengan Pegawai Pelindung, Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sik dengan kadar segera di talian 04-4690230.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 11:01 AM