JKM mengesan waris kepada kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Hasani. Foto ihsan JKM
JKM mengesan waris kepada kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Hasani. Foto ihsan JKM
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik sedang mengesan waris dan ibu kandung kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang dirujuk oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sik pada 2018.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Sik, Shamrul Izrin Isahak, berkata kanak-kanak yang dikenali sebagai Hasani itu kini di bawah jagaan JKM selama tiga tahun.

"Memandangkan pada ketika itu tiada ahli keluarga atau waris yang tampil untuk menuntut kanak- kanak ini, Mahkamah Kanak-Kanak Sik memerintahkan agar kanak-kanak ini diletakkan dalam jagaan JKM mengikut Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak Kanak 2001 Pindaan 2016.

"Tarikh sebutan yang akan datang di Mahkamah Bagi Kanak Kanak Daerah Sik adalah pada 11 November depan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shamrul Izrin berkata waris kanak-kanak ini dikenali sebagai Aisyah dan Abdullah masing-masing berusia 30-an berasal dari Kampung Baru Seri Dacing, di sini.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai waris Hasani diminta menghubungi Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kabajikan Masyarakat Daerah Sik, Mohd Asri Abdullah dengan kadar segera di nombor 04-4690230.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 10:38 AM