Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

KERAJAAN hari ini memohon perintah mahkamah untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan dana berjumlah lebih AS$340 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di firma guaman United Kingdom (UK).

Permohonan itu dikemukakan pada 10 Julai untuk perintah larangan bagi menyekat sebarang urusan kewangan, berjumlah AS$340,258,246.87 milik PSI dan anak syarikatnya PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (Diperbadankan di Barbados) (PSOS-VZ), dipegang dalam akaun Clyde & Co LLP.

Kerajaan juga memohon wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan dalam akaun bank atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.

Kedua-dua wang yang dinyatakan dan tidak dinyatakan jumlahnya itu adalah milik PSOS-VZ yang dimiliki sepenuhnya oleh Tarek melalui PSI.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amlatfpuaa) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

Permohonan itu disokong oleh afidavit yang diperakukan oleh Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Abd Aziz.

Mohd Afiq berkata, beliau seorang daripada pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam siasatan 1MDB dan ketika menjalankan tugasnya, beliau menemukan maklumat yang mendorongnya untuk mempercayai dan mengesyaki bahawa aset yang disimpan di luar negara adalah hasil daripada aktiviti haram.

Katanya, beliau mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa wang berjumlah AS$340,258,246.87 setakat Februari 2019 yang kini disimpan dalam akaun Escrow Clyde & Co bagi pihak PSOS-VZ, adalah sebahagian daripada perkara atau bukti yang berkaitan dengan konspirasi untuk menipu yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; Tarek; ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan individu lain yang ada kaitan dengan 1MDB dan anak syarikatnya.

"Saya juga mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa ada akaun bank lain yang menjadi sebahagian daripada persoalan atau bukti yang berkaitan dengan skim untuk menipu 1MDB.

"Akaun bank yang saya maksudkan adalah akaun bank dengan nama dan/atau diuruskan oleh Temple Fiduciary Services Limited bagi pihak responden ketiga (PSOS-VZ)," katanya.

Mohd Afiq berkata, permohonan di bawah AMLATFPUAA untuk menyekat wang itu adalah wajar sehingga mahkamah dapat menentukan secara sah sama ada wang tersebut adalah milik 1MDB.

Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan memberitahu pemberita, permohonan itu akan didengar pada 16 Julai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Budiman berkata, pihak pendakwaan perlu mendapatkan perintah mahkamah di sini, sebelum mereka dapat meneruskan tindakan selanjutnya.

"Sekiranya kami (pihak pendakwaan) mendapat perintah di sini, kami akan menghantarnya ke UK melalui MLA (bantuan guaman bersama) menerusi saluran diplomatik dan untuk pihak berkuasa UK mendaftar dan menguatkuasakan perintah sekatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 5:44 PM