Noor Hidayah Tanzizi

KEMUNCULAN ikan paus spesis humpback atau nama saintifiknya, megaptera novaeangliae di perairan Batu Malang, Teluk Senangin di Lumut, Sabtu lalu, adalah yang pertama ditemui di perairan Semenanjung.

Kehadiran ikan paus yang dipercayai masih anak muda atau juvenil itu dirakam nelayan di kawasan berkenaan kira-kira 8 pagi dan video itu turut tular di media sosial.

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran anak paus itu daripada Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe.

Menurutnya, pemerhatian daripada rakaman video itu mendapati ikan paus itu mirip spesis humpback yang dianggarkan berusia bawah setahun dan dipercayai terpisah daripada ibunya sehingga memasuki perairan negara.

“Pemerhatian menganggarkan panjang ikan paus itu antara lima hingga lapan meter dan spesis ini biasanya bergerak dalam kumpulan serta hidup secara nomad.

MOHD Tamimi menunjukkan rakaman video oleh nelayan yang merakam pergerakan anak ikan paus dipercayai spesis humpback di perairan Batu Malang, Teluk Senangin. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MOHD Tamimi menunjukkan rakaman video oleh nelayan yang merakam pergerakan anak ikan paus dipercayai spesis humpback di perairan Batu Malang, Teluk Senangin. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

“Ikan paus ini berada di perairan Hawaii, New Zealand dan Laut Pasifik dan dipercayai terpisah daripada ibunya. Malah ini kali pertama spesis ini ditemui di Semenanjung,” katanya ketika ditemui di Pejabat CPS Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada nelayan, ikan paus itu masih berlegar di antara perairan Pulau Pangkor dan Teluk Senangin kerana dipengaruhi air pasang surut dan faktor makanan.

“Paus ini boleh menyesuaikan diri sebab laut kita adalah laut tropika cuma apabila perubahan iklim menjadi faktor ikan paus sakit atau mati.

“Pihak kami menjalankan pemantauan berkala dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan, malah kita juga ada Pasukan Bertindak Kedamparan Spesies Marin Terancam,” katanya.

Mohd Tamimi berkata, apa yang dibimbangkan ketika ini kawasan ikan paus itu berlegar adalah kawasan aktiviti menangkap ikan dan terdapat bot nelayan.

“Kita juga buat pemerhatian dan memaklumkan kepada nelayan supaya tidak mendekati, mengganggu serta melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan ikan paus itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 9:00 PM