Aminuddin (kanan) memasang stiker memberi kesedaran menjaga kebersihan pantai kepada pemandu teksi selepas melancarkan program Kempen Kebersihan Pantai di Pantai Saujana, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Aminuddin (kanan) memasang stiker memberi kesedaran menjaga kebersihan pantai kepada pemandu teksi selepas melancarkan program Kempen Kebersihan Pantai di Pantai Saujana, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


"SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, ramai yang tertumpu ke pantai Port Dickson untuk beriadah. Malangnya mereka meninggalkan sampah selepas berkelah bersama keluarga," ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas melancarkan program kempen kebersihan pantai 'PD'. Pantai Indah, Bebas Sampah' di Pantai Saujana, Negeri Sembilan.

Menurutnya, orang ramai seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan sampah di tempat mereka beriadah.

"Sebelum mereka berkunjung, pantai dalam keadaan bersih tetapi selepas mereka balik, pantai menjadi kotor dan sampah bertaburan.

"Memang kita akui tong sampah tidak banyak kerana mahu keselesaan orang ramai tetapi sampah ini akhirnya bertaburan dan menyakitkan mata yang memandang," katanya.

Menurutnya, hasrat kerajaan negeri mahu menjadikan Port Dickson menjadi ikon bandar pelancongan terbaik/

"Bukan sahaja kawasan pantai, kita ada gunung, hutan lipur dan banyak lagi kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dan saya mahu mereka (pengunjung) tidak meninggalkan sampah di lokasi mereka beriadah.

"Untuk tujuan itu, kempen kebersihan pantai akan berterusan setiap masa dan kita menghargai usaha pihak Hotel Seri Malaysia menjadi 'bapa angkat' kepada Pantai Saujana yang akan menjadi 'mata dan telinga' untuk mengatasi permasalahan kebersihan di kawasan pantai," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya permintaan pengusaha bot pisang dan Jet Ski untuk beroperasi di kawasan pantai, pihaknya sedang menunggu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mereka beroperasi.

"Bukan kita tidak membenarkan sukan air atau riadah air ini beroperasi kerana ia dalam peringkat akhir bagi menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang selamat. Saya berharap pengusaha sukan air ini bersabar seketika, tidak lama lagi, demi keselamatan semua pihak.

"Kerajaan negeri memahami masalah ini dan mereka (pengusaha sukan air) boleh beroperasi semula selepas semuanya selesai sedikit masa lagi dengan bantuan perundangan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang menyediakan SOP yang akan digunakan pengusaha sukan air ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 4:26 PM