NORA Anne. FOTO Ihsan PDRM
NORA Anne. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria


KES kehilangan dan kematian remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, di Pantai, Seremban, yang turut mendapat liputan antarabangsa tidak menjejaskan sektor pelancong Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, negeri itu mempunyai banyak tempat menarik dan kes berkenaan tidak akan menjejaskan sektor pelancongan Negeri Sembilan secara keseluruhan.

“Kita ada banyak lagi kawasan pelancongan di seluruh Negeri Sembilan. Kes Nora Anne adalah di luar jangkaan kita, namun saya percaya ia tidak menjejaskan sektor pelancongan secara keseluruhan.

“Diharapkan orang ramai akan terus datang ke negeri ini khususnya ke Port Dickson yang sudah dikenali ramai pengunjung dari dalam dan luar negeri,” katanya ketika hadir pada program Mengutip Sampah CSR Greenpeach di Pantai Saujana, Port Dickson, semalam.

AMINUDDIN (dua kiri) melihat sampah yang sudah diasingkan pada program Mengutip Sampah CSR Greenpeach. FOTO Mohd Khidir Zakaria
AMINUDDIN (dua kiri) melihat sampah yang sudah diasingkan pada program Mengutip Sampah CSR Greenpeach. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Mengulas mengenai program berkenaan, Aminuddin berkata, beliau teruja dengan kelainan pelaksanaan program yang dilakukan Greenpeach apabila badan bukan kerajaan (NGO) itu mengira setiap sampah yang dikutip dan mengasingkannya mengikut kategori.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan mereka sudah mengutip lebih 2,000 puntung rokok di sekitar pantai ini, kemudian mereka mengasingkan sampah mengikut kategori dan ini ada sedikit kelainan,” katanya.

Aminuddin berkata, industri pelancongan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan keutamaan daripada segi kebersihan.

“Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan ini, aspek utama kita ialah kebersihan sesuai dengan moto kita, Bersih, Muafakat dan Sejahtera.

“Saya yakin, jumlah pelancong akan terus bertambah jika orang ramai digalakkan untuk sama-sama menjaga kebersihan.

“Kita juga akan menghapuskan penggunaan straw (penyedut minuman) plastik bagi menjaga alam sekitar,” katanya dalam sidang media.

Turut hadir, Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Mohd Zamri Mohd Esa dan Ketua Pegawai SWM Environment, Norlisam Nordin.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 1:08 AM