Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir Mohamad.
BERNAMA

BEKAS perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memutuskan beliau serta lima lagi Ahli Parlimen kekal bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk berada di blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.

Menurut kenyataan bersama dengan lima Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) hari ini, Dr Mahathir menegaskan mereka tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

Dr Mahathir turut mengulangi pendiriannya kekal menyokong Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Katanya, walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menamakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri namun keputusan itu tidak membabitkan beliau dan rakannya serta Warisan.

"Kami masih lagi berpegang kepada cadangan dibuat hasil dari perbincangan antara saya dengan pemimpin Warisan, Amanah dan DAP pada 25 Jun lepas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih berpegang kepada cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang mencadangkan Shafie sebagai calon Perdana Menteri, manakala Anwar dan Mukhriz masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan II (pada mesyuarat 25 Jun).

Dr Mahathir berpandangan bahawa pencalonan Shafie sebagai perdana menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil demi meningkatkan hubungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 9:02 PM