Anwar Ibrahim beredar meninggalkan Dewan Rakyat.
Anwar Ibrahim beredar meninggalkan Dewan Rakyat.
Rafidah Mat Ruzki dan Zanariah Abd Mutalib


KELIBAT Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kelihatan ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu selain Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat bersama-sama di sidang media itu.

Selain itu, Ahli Parlimen PKR juga tidak kelihatan pada sidang media selama kira-kira 35 minit itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Anwar sudah menandatangani kenyataan bersama yang dikeluarkan Pakatan Harapan (PH) dan parti yang bekerjasama dengannya.

"Dia (Anwar) sudah tandatangan kenyataan bersama tetapi dia tidak dapat hadir," katanya ringkas ketika ditanya pada sidang media itu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, sidang media berkenaan sebenarnya adalah bagi Dr Mahathir menjelaskan mengenai isu Bersatu dan bukan sidang media PH.

"Jadi, tidak ada keputusan untuk semua orang hadir, terserah pada semua. Mungkin Datuk Seri Anwar dan pimpinan lain ketika ini tertumpu kepada menyediakan kenyataan bersama yang akan dikeluarkan PH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 4:31 PM