JUHAILI (tengah) bersama tetamu jemputan serta penduduk Kampung Entangor semasa perasmian Jalan Klait Entangor di Sebuyau, hari ini. STR/ MELVIN JONI
JUHAILI (tengah) bersama tetamu jemputan serta penduduk Kampung Entangor semasa perasmian Jalan Klait Entangor di Sebuyau, hari ini. STR/ MELVIN JONI
Melvin Joni


PENDUDUK di sekitar Kampung Entangor, Sebuyau kini tidak perlu lagi menaiki bot untuk ke pasar apabila Jalan Klait Entangor sepanjang sembilan kilometer yang dibina dengan kos RM27 juta bagi menghubungkan kawasan berkenaan kini siap.

Dahulu Kampung Entangor yang terletak di hulu Sungai Sebangan hanya boleh dikunjungi menggunakan bot dengan perjalanan selama empat hingga lima jam berbanding kini hanya setengah jam dari Pasar Sebangan menggunakan jalan yang sudah siap dibina.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, selain memberi manfaat kepada 475 penduduk Kampung Entangor, jalan itu juga bakal memberi kemudahan kepada penduduk beberapa kampung berhampiran.

"Antaranya Kampung Klait, Kampung Jeragam, Kampung Bulan dan Kampung Kesindu serta memudahkan ibu bapa dan pelajar Sekolah Kebangsaan Bulan Jeragam yang turut berada di laluan jalan berkenaan," katanya ketika merasmikan Jalan Klait Entangor, Sebuyau, hari ini.

Sempena majlis itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau turut merasmikan Dewan Masyarakat Baru Entangor yang dibina dengan kos RM650,000 dan jalan masuk kampung Entangor yang siap dibina dengan kos RM600,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:01 PM