Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menolak saman bekas pengurus, Marina Juki terhadap pelawak dan pelakon Zizan Razak berhubung pelanggaran perjanjian kontraknya.

Hakim Rosbiahanin Arifin dalam keputusannya berkata, saman itu sepatutnya difailkan oleh syarikat pengurusan Wire Fame Entertainment Sdn Bhd (Wire Fame) bukan Marina.

Pada 5 November 2014, Marina memfailkan saman terhadap Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak mendakwa artis itu melanggar syarat perjanjian dengan mengikat kontrak dengan syarikat lain, sebelum kontraknya bersama Wire Fame tamat pada 5 Mei 2015.

Marina menuntut ganti rugi khas lebih RM500,000 dan ganti rugi am 15 peratus atas semua pendapatan yang diperoleh Zizan daripada syarikat pengurusan lain.

Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman bertindak bagi pihak Marina manakala Zizan diwakili Rishwant Singh.

Marina dan Zizan bagaimanapun tidak hadir di dalam prosiding.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 11:52 AM