MARINA menyerahkan sejumlah wang hasil jualan barang lusuh kepada Aunty Hong. FOTO Ihsan Marina Ibrahim
MARINA menyerahkan sejumlah wang hasil jualan barang lusuh kepada Aunty Hong. FOTO Ihsan Marina Ibrahim
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Ibu tunggal mengalami 'hoarding disorder' yang hidup bersama timbunan barang lusuh dan sampah sejak 20 tahun lalu berjanji ingin berubah sikap serta membersihkan kediamannya di Flat Taman Ungku Tun Aminah, di sini, secara berperingkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai Marina Ibrahim berkata, ketika ini, sebahagian barang lusuh di kaki lima kediaman wanita berusia lingkungan 60-an itu sudah dibersihkan dan dijual.

Menurutnya, pihaknya juga menyerahkan sejumlah wang hasil jualan barang lusuh kepada wanita berkenaan yang mendakwa turut menghidapi masalah kesihatan termasuk jantung dan rahim.

"Dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu, malah dia kini gembira gembira kerana sebahagian barang lusuhnya sudah dijual.

"Dia menyatakan ingin menggunakan wang diperoleh untuk membeli ubat pada masa depan," katanya.

Marina berkata, pihaknya sanggup menawarkan kenderaan atau pengangkutan selepas kerja pembersihan diadakan bagi membolehkannya menjual barangan itu.

Beliau berkata, warga emas itu juga menolak ketika ditawarkan bantuan makanan serta kewangan sambil memaklumkan dia masih mampu bekerja untuk menyara kehidupan dua anak remajanya.

"Ketika ini, sumber pendapatannya adalah hasil mengopek bawang di rumah.

"Katanya, dia memperoleh bayaran RM20 untuk dua guni bawang, mungkin terdapat kisah di sebalik kekurangan dirinya namun saya mendapati dia suka berdikari.

"Satu perkara saya nampak positif wanita itu adalah sifatnya tidak suka meminta-minta dan sangat bersyukur," katanya.

Marina berkata, permasalahan wanita itu juga sudah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Pegawai JKM Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata pihaknya sudah mengunjungi wanita itu dan sedang mengumpul maklumat bagi tindakan lanjut.

Pada 4 Jun lalu, Harian Metro melaporkan kehidupan seorang wanita dan dua anak remajanya hidup dengan timbunan barangan terbuang dan sampah sejak 20 tahun lalu.

Bukan hanya di luar kaki lima, malah sampah seperti plastik, kertas dan botol kosong memenuhi seluruh ruang rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 6:10 PM