AHMAD FAIZAL AZUMU
AHMAD FAIZAL AZUMU
Noor Hidayah Tanzizi


KERAJAAN Perak meluluskan RM500,000 bagi peruntukan membasmi serangan ulat pemakan daun (UPD) yang menyerang ladang sawit di Felda Trolak, Sungkai dekat Tapah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kelulusan itu hasil perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membantu masalah yang dihadapi peneroka di Felda berkenaan.

"Pada 2019 (kerajaan negeri) sudah memperuntukkan RM300,000 di Felda Gugusan Besout (untuk membasmi serangan UPD). Kini Felda Trolak menghadapi masalah kerja pencegahan dan pembasmian UPD sekali gus memohon peruntukan RM500,000 untuk kerja kawalan pencegahan ini.

"Saya sudah bincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim) dan kita akan luluskan permohonan sepenuhnya sebanyak RM500,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Sungkai dekat Tapah, hari ini.

Sambutan berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, daripada 5,917 peneroka yang terdapat di seluruh Perak, kerajaan negeri menyelesaikan pemberian hak milikan tanah kepada 5,776 peneroka.

"Baki 141 lagi peneroka yang belum diberikan hak milik tanah akan kita usahakan dalam masa terdekat, dan kita akan cari jalan untuk pastikan masalah ini dapat diselesaikan dalam tahun ini juga," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, pihaknya mencadangkan Felda mengguna pakai sistem yang dilaksanakan Lembaga Getah Malaysia yang menggunakan bayaran tanam semula (SES) untuk tujuan bantuan tanaman semula tanaman.

Menurutnya, ketika ini SES hanya digunakan bagi tujuan penyelidikan, dan bukannya untuk tabung bantuan tanam semula seperti getah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:34 PM