Dari kiri, Sukri, Roslan, Izad dan Haziq bakat hoki yang dicungkil dari Felda Trolak.
Dari kiri, Sukri, Roslan, Izad dan Haziq bakat hoki yang dicungkil dari Felda Trolak.
Ferzalfie Fauzi


PERAK memang sinonim dengan slogan, Perak No 1, tapi untuk sukan hoki rasanya paling sesuai ialah Felda Trolak Utara No 1.

Umum mengetahui bahawa Felda Trolak sentiasa melahirkan beberapa jaguh hoki negara seperti bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin, adiknya Izad Hakimi Jamaluddin, Sukri Mutalib dan Haziq Shamsul.

Semalam dalam akaun Facebook, Roslan yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan wanita, memuatnaik gambar bahawa felda yang terletak di Sungkai, Perak itu harus dihormati kerana melahirkan pemain hoki berkualiti.

"Kami di antara pemain hoki yang pernah mewakili negara dan ada yang masih mewakili 'Malaysian Hockey Team' hingga kini," katanya sambil berkongsi gambar memakai jersi pasukan, Felda Hockey - The Orengine Warriors.

Dalam entri berkenaan Roslan masih berharap bahawa Felda Trolak Utara dapat meneruskan kesinambungan melahirkan lebih ramai pemain kebangsaan.

"Kami semua anak Jati Felda. Anak-anak Peneroka Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak. Alhamdullilah masih ada kesinambungan setakat ini.

Semoga ada generasi baru dari anak-anak Felda yang akan mewakili negara di persada hoki antarabangsa, Insya Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 6:00 PM