Amir Abd Hamid

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memerlukan lebih ramai pegawai dan anggota untuk memerangi dadah yang dianggap sebagai musuh nombor satu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, ketika ini lebih 5,000 perjawatan di JSJN dilihat tidak mencukupi berbanding beban kerja dan tanggungjawab besar dipikul.

"Kita hanya ada lebih 5,000 perjawatan berbanding Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Cawangan Khas Bukit Aman masing-masing mempunyai 14,000 dan 9,000 perjawatan.

"Modus operandi pengedaran dadah kini sudah berubah, sekarang ada yang guna dron untuk hantar dadah, ada kemungkinan mereka gunakan burung merpati untuk hantar bahan terlarang itu pada masa hadapan.

"Kita perlukan lebih ramai tenaga kerja. Perkara ini sudah diusulkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, katanya, penggunaan dadah dalam parti liar kini didapati semakin berleluasa di seluruh negara merangkumi kawasan pinggiran bandar.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, antara jenis dadah menjadi pilihan kumpulan berkaitan ialah ganja dan ketamin.

"Parti liar kini berleluasa di bandar dan pinggiran bandar di seluruh negara.

"Kita akan teruskan penyiasatan mengikut undang-undang seperti Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dalam hal ini, kita sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji jika ada keperluan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap mereka," katanya.

 RAMLI dalam sidang media di Bukit Aman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
RAMLI dalam sidang media di Bukit Aman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 5:39 PM